Kejayaan

POLIS RAMPAS TIGA POKOK GANJA TANAM DALAM REBAN AYAM

Bukit Mertajam, 2 Julai 2018 - Polis merampas tiga pokok ganja yang ditanam dalam reban ayam di Tingkat Perusahaan 1, Perai di sini dan menahan lima lelaki dalam serbuan semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, polis menyerbu reban ayam itu kira-kira 7 malam dan menahan lima lelaki berusia 36 hingga 49 tahun.

"Hasil pemeriksaan awal atas meja yang terdapat dalam reban ayam itu,polis merampas satu paket ganja seberat 3.03 gram dan pelbagai peralatan untuk menghisap dadah. Mereka menjadikan reban ayam itu sebagai tempat menghisap dadah.

"Pemeriksaan lanjut polis, menemui tiga batang pokok ganja yang ditanam dalam baldi di dalam reban ayam berkenaan, setiap pokok itu panjang 208 sentimeter(cm), 92cm dan 77cm," katanya di sini hari ini.

Katanya siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan daripada mana mereka mendapatkan benih pokok ganja itu sebelum menanamnya dalam reban ayam berkenaan.

Nik Ros Azhan berkata dua daripada lima lelaki itu positif dadah dan turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah dan mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, dalam perkembangan lain katanya polis menahan dua lelaki berusia 22 dan 24 tahun kerana terlibat dalam kegiatan curi motosikal di sekitar daerah SPT dalam serbuan di Flat Ampang Jajar, Permatang Pauh dekat sini.

Beliau berkata pihaknya berjaya mengesan dua lelaki itu selepas mereka yang menaiki sebuah motosikal SYM Bonus yang dilaporkan dicuri bertindak memecut laju ketika cuba ditahan polis.

"Berlaku pergelutan sebelum polis berjaya menahan mereka kira-kira pukul 11.30 malam tadi di flat bekenaan dan siasatan awal mendapati mereka terlibat dalam kegiatan curi motosikal sejak awal tahun ini," katanya.

Katanya mereka mencuri motosikal di sekitar pasar raya dan pusat membeli-belah di SPT sebelum meleraikan komponennya serta menjual kepada pembeli dengan harga murah. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS