Kejayaan

LELAKI DITAHAN CEDERAKAN DUA POLIS DENGAN KERAMBIT

George Town, 4 Julai 2018 - Polis menahan seorang lelaki kerana mencederakan dua anggota polis ketika mereka cuba menahan suspek yang disyaki mencuri kipas dinding sebuah klinik di Jalan Mahsuri, Bayan Baru dekat sini 30 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt A.A Anbalagan berkata lelaki berusia 28 tahun yang mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah itu ditahan pada pukul 2.50 pagi semalam di hadapan restoran makanan segera di Sungai Dua, di sini.

"Dalam kejadian pukul 1.15 pagi pada 30 Jun lepas itu, L/Kpl Mohd Nazri Mat Naya dan Konstable Mohammad Izzat Shafiq Mohd Razi sedang menjalankan risikan selepas menerima maklumat berhubung kejadian curi kipas oleh dua lelaki di sebuah klinik di Lengkuk Mahsuri, Bayan Baru sebelum dapat mengesan suspek di Jalan Mahsuri.

"Semasa cuba menahan lelaki itu, suspek mengeluarkan kerambit dan melibaskannya ke arah dua anggota polis berkenaan sehingga mereka mengalami kecederaan iaitu luka di bahagian tangan kiri dan kanan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata dua anggota polis itu dihantar ke Hospital Balik Pulau dan masing-masing menerima tujuh jahitan di bahagian lengan serta dirawat sebagai pesakit luar.

Anbalagan berkata lelaki yang tidak bekerja dan positif dadah itu kini direman enam hari untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata polis menahan tiga lelaki berusia 25 hingga 34 tahun anggota geng samun dan pecah rumah dalam serbuan berasingan di sekitar Machang Bubok, Bukit Mertajam awal pagi ini.

"Berdasarkan siasatan, tiga lelaki itu terlibat dalam kegiatan jenayah di sekitar SPT dan beberapa daerah lain di negeri ini sejak awal tahun ini dan berikutan penahanan mereka polis percaya dapat menyelesaikan 15 kes samun dan pecah rumah," katanya.

Beliau berkata berikutan penahanan tiga lelaki itu, polis merampas pelbagai barang dipercayai hasil kegiatan jenayah antaranya beg tangan, dompet, telefon bimbit dan pisau yang digunakan untuk samun dan pecah rumah.

Mereka yang tidak bekerja dan positif dadah serta mempunyai pelbagai rekod lampau kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan, katanya.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS