Kejayaan

DUA LELAKI DIBERKAS TERBABIT PENIPUAN BITCOIN DENGAN KERUGIAN RM1.3 JUTA

Labuan, 6 Julai 2018 - Polis Labuan menahan dua lelaki yang dipercayai dalang di sebalik penipuan bitcoin melibatkan kerugian kira-kira RM1.3 juta, membabitkan sekurang-kurangnya 650 mangsa termasuk orang kenamaan dengan seorang bergelar ‘Datuk Seri’.

Ketua Polis Daerah Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata kedua-dua suspek berusia 24 dan 54 tahun berkenaan diberkas dalam dua operasi berasingan pada 25 Jun lalu.

Penipuan itu yang dijalankan sejak Februari lalu dipercayai didalangi suspek warga tempatan berusia 24 tahun dari Menumbok dan dibantu lelaki warga Indonesia berusia 54 tersebut menerusi syarikat yang baru ditubuhkan Global Mining Pro, katanya di sini hari ini. Muhamad Farid berkata berdasarkan siasatan polis, modus operandi mereka menyerupai konsep pemasaran pelbagai peringkat MLM dengan janji pulangan tinggi sehingga 85 peratus.

“Setiap ‘pelabur’ tidak perlu menunggu lama untuk mendapat pulangan dengan pelaburan minimum RM1,800 akan matang pada bulan berikutnya dan menerima pulangan 77 peratus atau RM1,300, manakala pelaburan maksimum RM37,000 dengan pulangan 85 peratus atau RM33,000,” katanya.

Beliau berkata ‘pelabur’ diberi kontrak pelaburan lima hingga 10 tahun.

Menurutnya kes itu terbongkar susulan laporan polis yang dibuat oleh dua mangsa yang masing-masing kerugian RM193,000 dan RM10,000.

“Kami turut merampas turut tiga keping cek bernilai keseluruhan RM444,450, kad ATM, cap syarikat, satu buku cek dan telefon bimbit daripada seorang suspek,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan lanjut.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS