Kejayaan

POLIS TERENGGANU TAHAN TIGA LELAKI TERLIBAT PERTARUHAN BOLA SEPAK

Kuala Terengganu, 9 Julai 2018 - Polis Terengganu menahan tiga lelaki yang disyaki terlibat dalam beberapa pertaruhan haram sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia 2018.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, polis turut merampas wang tunai RM3,100 serta tiga telefon bimbit daripada tiga lelaki tempatan itu.

"Serbuan yang dibuat secara berasingan itu pada 28 Jun, 2 Julai diikuti 4 Julai di dalam premis awam dengan nilai pertaruhan yang kita kesan melalui telefon yang dirampas itu melebihi RM30,000," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Beliau berkata, serbuan dibuat semasa perlawanan itu sedang rancak berlangsung.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953, bagaimanapun ketiga-tiga mereka telah dibebaskan atas jaminan polis.

Selain itu dalam sidang media berasingan, pihak polis berjaya menumpaskan kegiatan geng pecah kereta 'Geng Pak Itam' yang ditubuhkan Mac lalu apabila berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Idris Abd Rafar berkata, penahanan itu bermula apabila sepasukan anggota unit pasukan petugas menahan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di kawasan letak kereta Masjid Raja, Bukit Besar pada pukul 5 pagi di sini.

Katanya, di dalam kereta berkenaan terdapat seorang lelaki berusia 40 tahun dan wanita, 28, selain menemui barang-barang kes berkaitan dengan kes pecah kereta seperti segugus anak kunci kereta Mercedes Benz dan kunci rumah, beg yang mengandungi kitab agama, sarung tangan dan sebatang besi.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat siasatan suspek lelaki itu, poliskemudiannya menahan seorang lagi lelaki berusia 36 tahun, kira-kira 11.30 pagi yang sama di Kampung Pantai Ali Bukit Payong, Marang.

"Hasil pendedahan yang dibuat oleh ketiga-tiga suspek, anggota polis telah membuat rampasan barang di dua lokasi yang berasingan iaitu di sebuah rumah di Taman Sri Intan, Jalan Sultan Omar dan Lorong Dua, Bandar Baharu Pulau Kambing di sini," katanya.

Idris berkata, barangan yang dirampas didapati positif berkait dengan lima kes pecah kereta di sekitar bandar raya ini.

Beliau berkata, modus operandi yang diguna adalah dengan cara memecah cermin kereta mangsa dengan menggunakan serpihan plug motosikal yang mana sasaran adalah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang diletakkan berhampiran masjid antara pukul 2 pagi hingga 6 pagi.

Katanya, kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 5 Julai dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut rekod, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 18 kes pecah cermin kereta telah dilaporkan di kawasan berhampiran masjid di sekitar Kuala Terengganu. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS