Kejayaan

POLIS TAHAN DUA PENGEDAR DADAH AKTIF DI KAWASAN SEREMBAN

Seremban, 12 Julai 2018 - Polis menahan dua lelaki yang disyaki pengedar dadah aktif di kawasan Seremban dalam Ops Khas awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri DSP Pang Jin Lai berkata suspek yang berusia 18 dan 25 tahun itu ditahan dalam serbuan pada pukul 1 pagi.

"Polis merampas bahan yang disyaki dadah jenis heroin yang dianggarkan seberat 680 gram bernilai RM20,300 serta kenderaan yang digunakan bagi tujuan aktiviti pengedaran dadah.

"Ujian air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah dan salah seorang suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya kedua-dua suspek kini ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban bagi tujuan siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Selain itu, katanya pihak polis juga menahan sepuluh lelaki di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas)1985 di kawasan daerah Seremban, Port Dickson, Rembau, Tampin dan Nilai.

Katanya jumlah keseluruhan sitaan ke atas pelbagai aset dan wang tunai milik pengedar dadah adalah sebanyak RM1.9 juta.

"Kita amat serius dalam misi membenteras dadah habis-habisan dengan memfokuskan tangkapan terhadap pengedar dadah yang bergiat aktif, khususnya di seluruh negeri ini," katanya dan menambah bahawa kejayaan ini adalah hasil daripada komitmen dan kerjasama semua pihak.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS