Kejayaan

BUDAK 12 TAHUN ANTARA DITAHAN MEREMPIT

TUMPAT - Keseronokan yang dicari tetapi padah yang dapat apabila budak berusia 12 antara ditahan terlibat dengan gejala samseng jalanan.

Budak lelaki berkenaan bersama 33 samseng jalanan lain termasuk abang kandungnya menjadikan jalan baru Kok Keli-Bendang Morak sebagai litar untuk aksi berbahaya seperti menunggang laju, ‘superman’ dan berlumba.

Sebelum itu, abangnya berusia 13 tahun luka di lutut apabila motosikalnya terbabas ketika cuba melarikan diri.

Pun begitu dia bagaikan tidak serik, walaupun dalam cuti sakit kerana kaki retak akibat motosikal terbabas, masih ke lokasi panas tersebut.

Bagaimanapun Ops Samseng Jalanan menggagalkan kegiatan mereka apabila lokasi panas itu diserbu jam 6 petang semalam.

Malah mereka diarah menolak motosikal masing-masing sejauh hampir dua kilometer ke Balai Polis Palekbang untuk tindakan lanjut.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mazuki Mat berkata, hasil operasi itu berjaya menahan 34 penunggang dan pembonceng bersama 26 motosikal, manakala lima daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Mereka berusia antara 12 hingga 21 tahun manakala yang positif dadah melibatkan seorang pelajar berusia 15 tahun,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati empat motosikal telah diganggu nombor enjin dan casis.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.

Mazuki berkata, dalam operasi itu sebanyak 102 saman dikeluarkan atas kesalahan menunggang tanpa lesen, tidak memakai topi keledar, tiada cukai jalan, ubahsuai kenderaan dan beberapa kesalahan lain.

“Kebanyakan motosikal ini bukan milik mereka, milik ibu bapa dan pihak kami akan panggil mereka untuk mengambil motosikal ini. Saman akan dikeluarkan ke atas pemilik motosikal ini,” katanya.

Bacaan lanjut di sinarharian.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS