Kejayaan

SEMBILAN LELAKI MYANMAR DITAHAN PUKUL BEKAS ANGGOTA POLIS

Kepala Batas, 28 Julai 2018 - Polis menahan sembilan lelaki warga Myanmar bagi membantu siasatan berhubung kejadian seorang bekas anggota polis cedera parah dipukul sekumpulan suspek dalam kejadian di Surau Bagan Lebai Tahir, Butterworth dekat sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata sembilan lelaki dari etnik Rohingya berusia 25 hingga 50 tahun itu ditahan secara berasingan di beberapa lokasi di sekitar Butterworth bermula pukul 12.15 tengah malam tadi hingga 2 pagi ini.

"Berdasarkan siasatan sebelum kejadian pukul itu berlaku, ketua kampung Bagan Ajam telah mengadakan perbincangan dengan empat lelaki Myanmar pada pukul 8 malam bagi menyelesaikan perselisihan faham antara dua kumpulan secara aman di surau berkenaan dan selepas selesai perbincangan dia (ketua kampung) terus beredar.

"Namun dia mendapat panggilan daripada seorang lelaki Myanmar memaklumkan berlaku pergaduhan di situ dan terus ke surau serta mendapati seorang lelaki telah dikejar dan dikepung sekumpulan warga Myanmar sebelum dipukul," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata ketua kampung itu bertindak meleraikan pergaduhan berkenaan dan mangsa yang cedera parah dipukul itu mendakwa dia merupakan polis dan siasatan mendapati mangsa adalah bekas anggota polis yang telah digantung kerja pada 2013.

Noorzainy berkata siasatan awal mendapati, mangsa dipukul disebabkan berjumpa dengan beberapa lelaki Myanmar di situ dan memberi amaran serta menegur beberapa lelaki Myanmar agar tidak menganggu seorang wanita yang juga adik iparnya... malahan mereka sering meminta wang daripada wanita itu.

Katanya disebabkan teguran itu, beberapa lelaki Myanmar berkenaan tidak berpuas hati sebelum berlaku pertengkaran dan pergaduhan di situ dan semasa kejadian isteri serta adik ipar mangsa turut berada di situ.

"Lelaki itu mendakwa dia dipukul dengan kayu, helmet dan kerusi sehingga mengalami kecederaan parah iaitu luka pada bahagian kepala, lebam di tangan serta badan dan patah empat batang gigi.Mangsa dirawat di Hospital Seberang Jaya," katanya.

Beliau berkata mangsa tidak nampak siapa yang memukulnya kerana semasa kejadian kawasan itu agak gelap namun percaya dia dipukul sekumpulan lelaki Myanmar yang ditegurnya berdasarkan cara percakapan mereka.

"Sembilan lelaki yang ditahan itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 326 dan 147 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Noorzainy berkata polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun kerana mengunting pagar Institut Kemahiran Mara (IKM) Seberang Perai Utara di Tasek Gelugor, dekat sini dan memecah masuk serta sebuah kenderaan di situ.

Katanya seorang pekerja di situ yang mahu ke tandas ternampak lelaki itu sedang mengunting pagar IKM berkenaan sebelum menjerit menghalaunya dan suspek melarikan diri dalam kejadian pukul 1 tengah hari Khamis lepas.

"Selepas pekerja itu keluar dari tandas dia ternampak lelaki berkenaan telah masuk semula ke dalam kawasan IKM dan berada dalam sebuah kereta dengan cermin kenderaan tersebut telah dipecahkan sebelum dia cuba melarikan diri namun berjaya ditahan oleh beberapa pekerja di situ kemudian diserahkan kepada polis," katanya.

Beliau berkata polis merampas sebuah motosikal, sebatang pemotong wayar, satu batang kuku kambing, dua bilah parang, dua bilah pisau dan spanar jenis Y dipercayai digunakan untuk mencuri motosikal bersama lelaki yang postif dadah berkenaan.

"Berdasarkan siasatan lelaki tersebut mengunting pagar di IKM itu sebelum memecahkan cermin kereta kerana mahu mencurinya dan dia dipercayai turut terlibat beberapa kes curi kenderaan termasuk motosikal serta samun di sekitar daerah SPU," katanya.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS