Kejayaan

POLIS SELAMATKAN LELAKI WARGA INDIA, MANGSA CULIK

Johor Bahru, 29 Julai 2018 - Polis berjaya menyelamatkan seorang lelaki warga India yang diculik dan dikurung di sebuah bilik di sebuah rumah tumpangan di Tampoi, di sini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, lelaki berumur 28 tahun itu diselamatkan pada 4.30 petang selepas polis menerima maklumat berkaitan penculikannya daripada Pejabat Suruhanjaya Tinggi India yang disalurkan kepada Ketua Unit Perhubungan Antarabangsa Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

"Keluarga mangsa ada membuat laporan di India setelah menerima mesej tuntutan wang tebusan daripada penculik. Mangsa dilaporkan telah diculik oleh sekumpulan lelaki dan meminta wang tebusan berjumlah RM200,000 untuk pembebasan, jika tidak, diancam bunuh," katanya menerusi kenyataan di sini malam tadi.

Mohd Khalil berkata, rakan mangsa yang merupakan seorang lelaki rakyat India juga telah membuat satu laporan polis di Shah Alam, Selangor.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat berkenaan, polis menyerbu sebuah rumah tumpangan di Tampoi, di sini, pada 4.30 petang semalam lalu menemui mangsa yang diikat dan dikawal oleh tiga lelaki warga Pakistan.

Katanya, mangsa diselamatkan dengan didapati tiada kecederaan serius lalu dihantar untuk rawatan lanjut.

"Polis berjaya menahan tiga lelaki Pakistan berusia antara 26 dan 29 tahun itu untuk siasatan lanjut.

Pihak Suruhanjaya Tinggi India akan dimaklumkan tentang kejayaan menyelamatkan warganya dalam tempoh tidak sampai 24 jam maklumat diterima," katanya. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS