Kejayaan

LIMA SUSPEK DITAHAN TERLIBAT SINDIKET EDAR HEROIN, SYABU

Ipoh, 1 Ogos 2018 - Polis menahan lima suspek termasuk seorang wanita yang dipercayai terlibat dengan sindiket pengedaran dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM14,200 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Pengkalan Maju, Simpang dekat Taiping semalam.

Serbuan pada pukul 10.30 pagi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Taiping.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Asisten Komisioner R. Ravi Chandran berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 15 hingga 33 tahun.

Jelasnya, hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik di rumah tersebut, polismenemui satu peket plastik dadah dipercayai heroin seberat 460 gram yang bernilai RM13,800.

"Polis turut menjumpai lima peket plastik dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 3 gram yang bernilai RM450.

"Tiga buah kereta, dua buah motosikal, barang kemas dan wang tunai berjumlah RM60,480 turut dirampas dalam serbuan itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut Ravi Chandran, hasil siasatan mendapati suspek utama kes tersebut berusia 25 tahun, isteri, adik dan rakannya tidak bekerja.

Ujarnya, seorang lagi suspek berusia 15 tahun yang merupakan adik bongsu kepada suspek utama merupakan pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah di Simpang, Taiping.

"Ujian saringan air kencing mendapati semua suspsk yang ditahan negatif sebarang penyalahgunaan dadah.

"Selain itu, tiga daripada lima suspek yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah," katanya.

Tambah Ravi Chandran, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Selasa depan untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 38B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. - K! ONLINE

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS