Kejayaan

POLIS TAHAN 3 INDIVIDU TERLIBAT LEBIH 200 KES MACAU SCAM

George Town, 5 Ogos 2018 - Tiga individu termasuk dua wanita disyaki anggota sindiket Macau Scam yang terlibat dengan lebih 200 kes penipuan sehingga menyebabkan mangsa kerugian sebanyak RM4.5 juta, berjaya ditahan di Pulau Pinang Selasa lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Seri A.Thaiveegan berkata tiga individu berusia 20 hingga 21 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar negeri ini selepas polis menerima laporan daripada seorang pensyarah sebuah universiti di Geogre Town yang ditipu sindiket berkenaan.

"Pensyarah berusia 58 tahun itu kerugian lebih RM300,000 selepas dihubungi sindiket berkenaan yang menyamar sebagai pegawai kastam danpolis dari Alor Setar, Kedah yang mendakwa lelaki tersebut terlibat aktiviti pengubahan wang haram serta penyeludupan telefon dari Thailand.

Mangsa telah diminta oleh sindiket itu untuk membuat pemindahan ke dalam akaun yang di dakwa di sediakan oleh pihak sekuriti Bank Negara Malaysia jika tidak mahu ditahan polis sebelum diarahkan memindahkan RM10,000 ke satu akaun seorang wanita kerana mereka mendakwa kes pensyarah tersebut tidak dapat diselesaikan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata pensyarah itu menyedari dia ditipu selepas tidak dapat lagi menghubungi pegawai polis dikenali sebagai Sarjan Nor Zam sebelum bertindak membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut pada Selasa.

Thaiveegan berkata berikutan laporan polis yang dibuat lelaki itu, polismenyerbu sebuah rumah di Taman Casa Idaman di Bukit Mertajam dan menahan seorang wanita iaitu pemilik akaun bank yang mangsa memindahkan wangnya dan hasil soal siasat pihaknya menahan rakan wanita berkenaan diTaman Penaga, Kepala Batas.

"Wanita pertama itu mengaku telah membuat pengeluaran wang dari akaunnya dan memberikan kepada rakannya kerana mendakwa ia adalah duit dari teman lelaki wanita kedua yang bekerja di luar negara manakala suspek (kedua) pula memaklumkan wang tersebut telah diserahkan kepada seorang kenalan lelakinya," katanya.

Katanya polis kemudiannya menahan lelaki itu di Seberang Jaya dan hasil soal siasat suspek mengaku mereka adalah anggota sindiket Macau Scam dan telah keluar negara sebanyak tiga kali iaitu Jepun dan Dubai dengan menggunakan wang yang diperoleh daripada penipuan itu.

Beliau berkata suspek lelaki itu turut mengaku terlibat dalam sindiket Macau Scam bersama beberapa lagi rakannya yang masih bebas sejak November tahun lepas dengan menyamar sebagai pegawai polis, kastam atau bank untuk menipu mangsa.

"Siasatan mendapati sindiket itu terlibat sebanyak 14 kes membabitkan kerugian RM486,050 di Pulau Pinang manakala 212 kes di seluruh negara sehingga mangsa kerugian RM4.5 juta. Polis percaya ramai lagi yang menjadi mangsa mereka dan siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Katanya tiga individu itu kini reman bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS