Kejayaan

MAKMAL DADAH DIBONGKAR, PENJAWAT AWAM ANTARA EMPAT DITAHAN

George Town, 10 Ogos 2018 - Polis membongkar sebuah makmal memproses dadah dan menahan empat lelaki termasuk seorang penjawat awam serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM500,000 dalam beberapa serbuan di sekitar Pulau Pinang, pada Rabu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A. Thaiveegan berkata, hasil risikan dan intipan sejak dua minggu lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pulau Pinang menyerbu sebuah kondominium yang dijadikan makmal memproses pelbagai jenis dadah di Jalan Batu Uban, Gelugor pada 2.45 petang.

"Semasa serbuan itu terdapat dua lelaki berumur 40 dan 54 tahun sedang memproses dadah serta berdasarkan siasatan dua lelaki yang tidak bekerja itu mempunyai kepakaran memasak dadah.

"Polis merampas 12 kilogram (kg) dadah jenis heroin; heroin base (1.5kg), kafein (51.7kg), dan syabu seberat 0.5kg serta pelbagai barang yang digunakan untuk memproses dadah. Semua dadah itu bernilai RM500,000," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan serbuan itu polis menahan seorang penjawat awam berumur 51 tahun di pejabatnya di Butterworth dan seorang lagi lelaki berumur 47 tahun di Sungai Batu, Bayan Lepas, disyaki anggota sindiket memproses dan mengedar dadah berkenaan.

Thaiveegan berkata, berdasarkan siasatan mereka menyewa kondominium mewah itu sejak enam bulan hingga setahun lepas untuk dijadikan makmal memproses dadah dan berpindah dari satu kawasan ke kawasan lain bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Beliau berkata, polis turut menyita lima kereta iaitu Honda Civic, Honda City, Perodua Bezza, Mercedes Benz C200 dan Perodua Axia serta dua motosikal, dua utas jam tangan berjenama serta tiga akaun bank milik mereka.

"Polis kini sedang mengesan beberapa lagi anggota sindiket itu. Mereka mendapatkan bekalan dari negara jiran dan memprosesnya di makmal itu sebelum membungkus serta menjual di sekitar Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata, dua daripada empat lelaki itu mempunyai rekod jenayah dan positif dadah. Kesemua mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS