Kejayaan

SUAMI ISTERI DITAHAN TERLIBAT KES SAMUN DAN PECAH KEDAI

Bukit Mertajam, 11 Ogos 2018 - Polis menahan sepasang suami isteri kerana disyaki terlibat dalam kegiatan samun dan pecah kedai runcit di sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah SPT, ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata pasangan berusia 28 dan 29 tahun itu ditahan susulan laporan polis dibuat pemilik sebuah kedai runcit yang kerugian RM6,500 berikutan kecurian pelbagai jenis rokok di kedainya di Kubang Semang, di sini.

"Dalam kejadian pada Rabu itu, pemilik kedai berkenaan menyedari kedainya telah dipecah masuk ketika mahu memulakan perniagaan pada pukul 10.30 pagi dan mendapati premis tersebut terbuka serta pengunci pintu telah dirosakkan manakala zink bumbung di bahagian belakang kedai juga terbuka.

"Tauke itu yang menjalankan perniagaan kedai runcit sejak enam tahun lepas membuat pemeriksaan dan mendapati pelbagai jenis rokok yang diletakkan di bahagian ruang jualan telah hilang dipercayai dicuri suspek yang memecah masuk kedai tersebut," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata bertindak daripada laporan polis dibuat mangsa, polisberjaya mengesan sepasang suami isteri di Penanti, Kubang Semang di sini dipercayai terlibat dalam kes itu dan menahan mereka kira-kira pukul 8 pagi Khamis.

​​​​​​​​​​​​​​Nik Ros Azhan berkata hasil soal siasat, mereka mengaku terlibat dalam kes itu dan sebahagian rokok yang dicuri telah dijual manakala selebihnya disembunyi di rumah pasangan yang tidak bekerja tersebut.

Katanya polis merampas rokok yang belum dijual dan wang tunai RM365 dipercayai hasil jualan rokok yang dicuri pasangan itu manakala sebahagian duit jualan itu telah digunakan untuk membayar hutang serta membeli barang keperluan di rumah mereka.

"Berdasarkan siasatan pasangan itu turut terlibat beberapa kes pecah kedai dan samun di sekitar daerah SPT sejak awal tahun ini.Mereka kini direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS