Kejayaan

PEKERJA SYARIKAT DITAHAN BERHUBUNG KES HILANG 28 TABLET

Ipoh, 23 Ogos 2018 - Seorang pekerja Syarikat Kilang Yamaha Electronic Manufacturing (M) Sdn Bhd ditahan selepas dipercayai terlibat kes kecurian sebanyak 28 buah tablet milik syarikat itu dengan anggaran kerugian RM58,800 dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Bandar Seri Botani, pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Mohd Ali Tamby berkata tangkapan dibuat terhadap lelaki berumur 42 tahun selepas pihak pengurusan syarikat berkenaan melaporkan kehilangan kesemua tablet jenis Acer Aspire Switch 10 berwarna hitam dari stor syarikat itu, pada 17 Ogos lepas.

“Ketika serbuan di pangsapuri suspek itu, anggota polis dari cawangan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ipoh merampas sebuah tablet serta menemui tiga keping resit jual beli di sebuah kedai telefon bimbit di Jalan Kampar, Ipoh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Susulan itu, beliau berkata polis turut menahan teman wanita suspek berumur 30 tahun yang dipercayai terlibat dalam urusan menjual atau membeli tablet berkenaan selain membuat rampasan sebanyak tujuh buah tablet di perkarangan IPD Ipoh.

“Teman wanita suspek tinggal serumah dan telah datang ke balai untuk menyerahkan tablet itu setelah dipanggil polis,” katanya sambil menambah wanita itu telah dilepaskan dengan jaminan polis semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda manakala suspek lelaki kini direman bermula Selasa lepas sehingga esok.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS