Kejayaan

POLIS TUMPASKAN SINDIKET PENGEDARAN DADAH BERNILAI RM26.1 JUTA

George Town, 23 Ogos 2018 - Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah dengan rampasan terbesar tahun ini, melebihi setengah tan yang bernilai RM26.1 juta.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang berkata polis merampas 486 bungkusan dadah disyaki syabu dan pil ekstasi dengan anggaran berat melebihi 500 kilogram (kg) menerusi beberapa serbuan di sekitar George Town di sini sejak dua hari lepas.

Beliau berkata empat lelaki tempatan berusia 35 hingga 59 tahun yang disyaki anggota sindiket pengedaran dadah itu turut ditahan dalam serbuan di Bayan Baru, Gelugor dan Jelutong.pada Selasa lepas.

"Dalam serbuan pertama di Bayan Baru, dua lelaki tempatan ditahan dan 159 bungkusan dadah yang dibalut menggunakan pembungkus teh dari China disyaki syabu dirampas.

"Hasil siasatan juga membawa polis ke lokasi serbuan kedua di Jelutong di mana polis menahan seorang lelaki dipercayai pengedar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, hasil siasatan awal mendapati Malaysia hanya dijadikan lokasi transit untuk sindiket berkenaan yang menyeludup bahan larangan itu melalui sempadan untuk pasaran antarabangsa.

Bertindak atas risikan, Kang berkata pada hari yang sama, polis menyerbu dua buah rumah kediaman dijadikan stor menyimpan dadah di kawasan Island Glades, Gelugor di mana 314 bungkusan syabu dan 13 bungkusan pil ekstasi dirampas dan seorang lelaki tempatan dipercayai penjaga stor turut ditahan.

"Kesemua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana mereka sedang direman sehingga Isnin minggu hadapan," katanya.

Turut dirampas dalam beberapa serbuan berkenaan adalah tiga buah kenderaan, wang tunai, pelbagai barang kemas dan seutas jam tangan bernilai RM147,000.

Sementara itu, Kang berkata sejak awal tahun sehingga 16 Ogos lepas, PDRM berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM127.8 juta hasil kerjasama erat pihak berkuasa negara jiran.

Beliau berkata dalam tempoh yang sama, 104,384 orang ditahan kerana penglibatan mereka dalam barangan larangan itu dan sebanyak RM47.62 juta nilai harta disita.

"Antara jenis dadah yang paling banyak dirampas dalam tempoh berkenaan ialah syabu sebanyak 2.1 tan termasuk hari ini dan pil ekstasi 107 kg," katanya.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS