Kejayaan

GENG SAUJANA AKHIRNYA TUMPAS

Shah Alam, 28 Ogos 2018 - Menunda motosikal yang diletakkan di tempat letak kenderaan dan di tepi jalan sebelum meleraikan komponen untuk dijual di pasaran tempatan.

Itu modus operandi Geng Saujana dianggotai empat lelaki berusia antara 15 dan 23 tahun.

Perbuatan jenayah geng terbabit terbongkar apabila Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya dan Balai Polis Bukit Puchong menahan kesemua mereka di Taman Saujana Puchong, petang Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, geng terbabit dipercayai bergiat aktif di sekitar Subang Jaya dan Lembah Klang.
Alat komponen yang telah dileraikan dan dipercayai akan dijual di pasaran tempatan.

Menurutnya, suspek menyasarkan motosikal yang ditinggalkan di tepi jalan akibat kemalangan dan kawasan parkir motosikal pangsapuri.

“Geng ini akan tunda motosikal dicuri dan leraikan komponennya satu persatu. Ia kemudian dijual di pasaran tempatan.

“Hasil tangkapan suspek, polis berjaya rampas sebuah motosikal, 29 alat komponen dan 12 rangka motosikal. Turut dirampas enam buah enjin motosikal yang dipercayai hasil curi geng ini,” katanya.

Beliau berkata, polis berjaya menyelesaikan 12 kes curi motosikal sejak tahun 2013 hingga kini.

Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS