Kejayaan

TUJUH LELAKI DITAHAN DIPERCAYAI TERLIBAT CURI PERALATAN TELEKOMUNIKASI

Alor Setar, 4 September 2018 – Polis menahan tujuh lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri peralatan syarikat telekomunikasi di sekitar daerah Kuala Muda, Kulim dan Pulau Pinang secara berasingan pada 19 dan 20 Ogos lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata kesemua suspek itu berusia lingkungan 30-an dan 40-an, dengan empat daripada mereka ditangkap di Sungai Petani pada 19 Ogos manakala selebihnya itu ditahan di Pulau Pinang pada 20 Ogos.

“Hasil siasatan awal mendapati, kesemua yang ditangkap mengaku telah melakukan jenayah tersebut dan bergiat aktif sepanjang tahun 2018,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Beliau berkata berikutan tangkapan itu sebanyak 19 unit Radio Remote Unit (RRU) milik Digi, Maxis dan U-Mobile anggaran bernilai RM600,000 berjaya dirampas polis di sebuah kedai barangan lusuh di Jalan Besar Seberang Perai, Pulau Pinang.

“Tujuh lelaki yang polis tahan ini termasuk pemilik dan pekerja kedai barang lusuh ini. Kesemua rampasan ini adalah positif bagi beberapa kes yang telah dilaporkan di negeri Pulau Pinang dan Kedah," katanya.

Mior Faridalathrash berkata polis percaya yang pihak kedai barangan lusuh berkenaan membeli RRU itu untuk digunakan semula dan kemudian dijual pada harga lebih kurang RM30,000 bagi setiap satu unit kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam bidang telekomunikasi.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dengan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali manakala kesalahan kali kedua atau berikutnya boleh dipenjara dan didenda atau disebat.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS