Kejayaan

SUSPEK BAKAR MESIN PEMBAYARAN AUTOMATIK BERJAYA DITAHAN DALAM TEMPOH KURANG 12 JAM

Kuala Lumpur, 6 Sept 2018 - Kurang 12 jam selepas kejadian kebakaran tiga mesin pembayaran automatik bil telefon pintar di sebuah premis di Taman Muhibbah, Kajang dekat sini awal pagi tadi, polis berjaya menahan seorang gelandangan untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata lelaki berusia 50 tahun itu ditahan di kawasan pekan Kajang pada kira-kira pukul 4 petang ini.

“Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati lelaki itu telah membakar sampah dalam premis syarikat telekomunikasi itu pada pukul 5.15 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki berkenaan kurang siuman dan kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat menggunakan api.

Pada kira-kira pukul 5.30 pagi tadi, Balai Bomba dan Penyelamat Kajang menerima panggilan mengenai kebakaran itu yang menyebabkan tiga mesin pembayaran automatik untuk bil telefon pintar yang ditempatkan di premis itu terbakar. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS