Kejayaan

PASANGAN SUAMI ISTERI WARGA THAI DITAHAN SEMBUNYI PISTOL DALAM TRELER

Jitra, 22 September 2018 – Sepasang suami isteri warga Thailand ditahan kerana menyembunyikan sepucuk pistol dalam sebuah treler yang dinaiki mereka ketika sekatan jalan raya oleh anggota Agensi Kawalan Sempadan Negara (AKSEM) di Kilometer 1.1, Bukit Kayu Hitam, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Ismail Ibrahim berkata lelaki berusia 39 tahun yang memandu treler yang membawa kontena dari Thailand bersama isterinya yang berusia 37 tahun itu cuba untuk melompat keluar dari treler sebelum ditahan kira-kira 12.05 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan menemukan satu plastik lutsinar berisi sepucuk pistol di dalam lubang tongkat besi treler berkenaan bersama sebutir peluru. Selain itu turut ditemui ialah satu dompet kecil mengandungi tiga butir peluru hidup," katanya ketika dihubungi Bernama.

Melalui pemeriksaan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), sebanyak 120 karton susu telah ditemui di kontena berkenaan dan pemandu mendakwa dikehendaki membawa barangan tersebut ke sebuah kilang di Bukit Kayu Hitam untuk dieksport ke Singapura.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8(1) Akta Senjata Api/Seksyen 7(1) akta yang sama.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS