Kejayaan

POLIS TAHAN 15 INDIVIDU, RAMPAS SYABU LEBIH RM6,000

Lahad Datu, 26 September 2018 -- Polis menahan 15 individu termasuk seorang wanita dan merampas 92.78 gram syabu bernilai RM6,570 dalam Operasi Sarang di empat lokasi berasingan dekat sini, Ahad lepas.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata kesemua suspek berumur 17 hingga 40 tahun itu ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

“Daripada jumlah individu ditahan itu, empat ditahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, manakala tiga individu ditahan di bawah Seksyen 39B, Sek 39 (2) dan Seksyen 39A (1) akta yang sama.

“Lapan yang lain pula ditahan mengikut Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.​​​​​​​

Operasi Sarang bermula 2 pagi dan berakhir 6 pagi itu, menyasarkan empat kawasan perkampungan di Kampung Ubi, Kampung Membatu, Kampung Segama dan Kampung Silabukan.

"Suspek yang positif dadah ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 39B akta sama," katanya.

Dalam pada itu, Nasri berkata polis turut menahan 11 individu melibatkan tujuh lelaki, tiga perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

Beliau berkata kesemua mereka berumur lima hingga 60 tahun itu diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan lanjut.

Sementara dalam satu serbuan lain, polis merampas 364 keping ​​​​​​​cakera video digital (DVD) pelbagai tajuk tanpa Sijil Perakuan 'B' bernilai RM2,000 menerusi Operasi Ostrich di sebuah premis di Centrepoint dekat pusat bandar, Rabu lepas.

"Dua wanita warga Filipina berumur 31 dan 35 tahun yang berperanan sebagai jurujual DVD cetak rompak itu turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya.- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS