Kejayaan

INDEKS JENAYAH HULU SELANGOR TURUN 8.79 PERATUS

Kuala Lumpur, 27 September 2018 - Kadar indeks jenayah membabitkan 11 kawasan di daerah Hulu Selangor menunjukkan penurunan sebanyak 8.79 peratus atau 30 kes sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, kes jenayah keseluruhan yang direkodkan pada tahun ini dari Januari hingga 26 Sept adalah 311 kes berbanding 341 kes pada 2017 dalam tempoh sama.

"Penurunan ini menunjukkan kadar jenayah di sini dalam keadaan terkawal hasil daripada kerjasama dan kesedaran orang awam selain pencegahan jenayah oleh anggota," katanya selepas melawat Persatuan Bantuan Keluarga Hulu Selangor, di sini, hari ini.

Kesemua kawasan itu membabitkan Kuala Kubu Bharu, Batang Kali, Kerling, Rasa, Serendah, Ulu Bernam, Ulu Yam Baru, Gedangsa, Bukit Sentosa, sebahagian Goh Tong Jaya dan Bukit Beruntung.

Lim berkata, usaha membanteras jenayah menjadi tanggungjawab dan kolaborasi semua peringkat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

Pada lawatan itu, 90 warga emas dan orang kurang upaya (OKU) menerima bantuan makanan hasil sumbangan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor dan NGO. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS