Kejayaan

TIGA INDIVIDU DITAHAN POLIS BERSAMA DADAH RM80,000

Alor Setar, 28 September 2018 - Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita serta merampas 4,551 gram dadah jenis heroin bernilai RM80,000 dalam satu serbuan di kawasan parkir Masjid Al-Wustha di Guar Chempedak dekat Yan, Rabu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah Supt Helmi Aris berkata lelaki dan wanita, kedua-duanya berumur 31 tahun serta seorang lelaki lagi berusia 40 tahun itu ditahan bersama sebuah kereta jenis Perodua Myvi dalam serbuan yang dilakukan sepasukan polis daripada JSJN pada 11.30 malam.

"Hasil pemeriksaan atas kusyen tempat duduk belakang kereta menjumpai satu beg plastik bertulis -BABY LIKE- yang membawa kepada penemuan dadah jenis heroin dengan berat 4,551 gram.

Kesemua barang kes dirampas oleh pihak polis dan ketiga-tiga suspek ditangkap untuk siasatan lanjut. Ketiga-ketiga mereka juga positif dadah berdasarkan ujian urin mereka," katanya dalam satu kenyataaan.

Helmi berkata ketiga-tiga suspek itu turut mempunyai rekod kesalahan lampau dengan lelaki dan wanita berusia 31 tahun itu berkaitan dadah manakala seorang lelaki lagi pernah terlibat jenayah lain iaitu mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata ketiga-ketiga mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 3 Oktober depan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS