Kejayaan

SINDIKET CURI EXCAVATOR TUMPAS

Kampar, 2 Oktober 2018 - Polis Perak berjaya menumpaskan satu sindiket samun dan curi mesin excavator melibatkan kerugian hampir setengah juta ringgit dalam operasi khas di tiga daerah, bulan lepas.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, operasi dijalankan di Kuala Kangsar, Kampar dan Manjung itu berjaya menahan enam lelaki berusia lingkungan 33 hingga 65 tahun, dipercayai anggota kumpulan terbabit.

Menurutnya, sindiket berkenaan dikesan aktif sejak awal tahun ini dan menyasarkan mesin excavator di kawasan pertanian dan perindustrian di daerah Kuala Kangsar, Manjung dan Gerik.

"Dalam serbuan itu polis turut merampas sebuah lori, sebuah mesin excavator dan beberapa kompenan mesin itu.

"Mesin-mesin ini dipercayai dileraikan dan kompenannya dijual berasingan di pasaran tempatan dan luar.

"Polis yakin ada lagi saki baki ahli kumpulan yang masih bebas, siasatan akan diteruskan termasuklah ke atas pembeli," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata, enam suspek yang ditangkap mempunyai rekod jenayah lampau dalam kes samun, curi dan dadah.

Katanya, polis turut meminta bantuan orang ramai mengesan seorang lelaki dikehendaki dikenali S Murugan berusia 30 tahun bagi membantu siasatan kes itu dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Dengan tertangkapnya enam lelaki itu polis berjaya menyelesaikan 10 kes kecurian yang dilaporkan sepanjang tahun ini," katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kampar baharu.

Asisten Komisioner Ng Kong Soon yang menjawat jawatan Ketua PolisDaerah Kampar selama enam tahun menerima kenaikan pangkat sebagai Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Negeri.

Sementara tugas beliau diambil alih Superintendan Hasron Nazri Hashim yang sebelum ini Ketua Bahagian Pengurusan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang berpangkat Deputi Superintendan.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS