Kejayaan

POLIS RAMPAS 175.68G DADAH, TAHAN TUJUH INDIVIDU

Johor Bahru, 26 Oktober 2018 - Sebanyak 175.68g pelbagai jenis dadah dirampas polis dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Plaza Sentosa, Jalan Sutera di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, dadah berkenaan ditemukan ketika pemeriksaan dilakukan dalam serbuan kira-kira jam 3.15 pagi.

"Serbuan dilakukan kerana menerima maklumat premis berkenaan menjalankan operasi lebih masa dan terdapat 22 individu berusia lingkungan 21 hingga 44 tahun berada dalam premis ketika pemeriksaan.

“Pemeriksaan lanjut di premis kita jumpa ganja dianggarkan seberat 164.12g, ketamin (1.09 gram), ekstasi (6.50g), erimin 5 (3.69g) dan syabu (0.28g),” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, operasi dilakukan itu turut membawa kepada penahanan tujuh suspek atas pelbagai kesalahan.

“Polis juga tahan penyelia premis yang bertugas di kaunter bayaran kerana dua daripada dadah ini ditemui dalam laci kaunter tersebut

“Seramai lima individu didapati positif dadah selepas saringan awal ujian air kencing dilakukan.

Shahurinain berkata, polis juga bertindak menahan pengurus premis berkenaan atas kesalahan menjalankan operasi perniagaan hiburan melebihi masa ditetapkan.

“Kita menahan seorang wanita disyaki warga Vietnam kerana dipercayai tidak mempunyai permit sah memasuki negara ini.

“Kesemua suspek akan dimohon menjalani perintah reman untuk siasatan lanjut,” katanya.

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS