Kejayaan

KONTENA BAKAL JADI PUSAT JUDI SIMULATOR DIRAMPAS

Polis menemui kontena yang bakal dijadikan pusat judi simulator dipercayai didalangi sindiket perjudian dalam Op Dadu Judi Berkomputer di Tanjung Kupang, Gelang Patah, pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan pada 11 pagi itu dilakukan sepasukan anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

Katanya, premis itu mempunyai empat mesin simulator permainan ‘wukong’ ditanda R1 hingga R4.

“Semua mesin yang dirampas itu masih belum berfungsi dan dibawa masuk ke dalam kontena awal pagi kelmarin (25 Oktober),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pasukan diketuai Asisten Superintendan H Ramatasan itu turut menahan tiga lelaki Bangladesh berusia 24 hingga 30 tahun.

“Suspek pertama berusia 25 tahun mengaku dia bersama dua rakan senegara dibawa ke Tanjung Kupang oleh seorang lelaki dari Kuala Lumpur pada 23 Oktober lalu.

“Peranan ketiga-tiga warga asing ini untuk bekerja sebagai penjaga mesin judi sebaik semua mesin di kabin itu beroperasi tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Menurutnya, warga asing terbabit disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 sebelum tindakan lanjut diambil. - HARIAN METRO ONLINE

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS