Kejayaan

WARGA INDONESIA DIPENJARA MILIKI GAMBAR MILITAN DAESH

Kuala Lumpur, 5 November 2018 - Seorang pengusaha ternakan itik warga Indonesia terpaksa meringkuk di penjara selama dua tahun enam bulan kerana memiliki dua keping gambar berkaitan kumpulan pengganas Daesh.

Eq Maulana Dunda, 25, yang baru beberapa bulan datang ke Malaysia selepas berkahwin dengan wanita tempatan dijatuhi hukuman penjara itu oleh Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah selepas tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 12 Julai lepas.

Eq Maulana didakwa memiliki dua keping imej gambar dalam telefon bimbitnya yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh atau yang mempunyai unsur perbuatan keganasan di sebuah rumah beralamat CB014, Cempaka B, Taman Sri Kolam 20000, Kuala Terengganu, Terengganu, pada 11.15 pagi, 12 Julai lepas.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana item tersebut.

Ketika rayuan, tertuduh yang memakai kurta dan kopiah putih dan tidak diwakili peguam memberitahu dia telah lama menyimpan gambar tersebut yang diperolehi dari “google” di internet dan tidak mengetahui menyimpan gambar tersebut merupakan satu kesalahan jenayah.

“Saya insaf. Saya simpan itu (gambar) sudah lama, semasa saya di Indonesia. Saya tidak tahu. Lillahitaala. Saya mohon hukuman seringan-ringannya...isteri saya sedang hamil,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Munirah Shamsudin @ Baharum memohon tertuduh dijatuhi hukuman pemenjaraan setimpal mengambil kira kes keganasan adalah jenayah merentas sempadan yang mempunyai rangkaian menyeluruh selain bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

Mengikut fakta kes, sepasukan anggota polis telah membuat serbuan di sebuah rumah yang didiami tertuduh dan isteri, serta telah menjumpai sebuah telefon bimbit di atas peti sejuk di bahagian dapur.

Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua keping gambar berkaitan keganasan manakala analisa pakar forensik polis mengesahkan gambar-gambar tersebut adalah lambang atau identiti yang menunjukkan simbol kumpulan pengganas Daesh yang boleh mendedahkan pemiliknya untuk cenderung kepada pemikiran, perancangan dan tindakan ekstremisma yang mengancam keselamatan negara.- Bernama

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS