Kejayaan

POLIS TAHAN SUAMI ISTERI, RAMPAS DADAH BERNILAI LEBIH RM81,000

Kuching, 9 November 2018 - Polis Sarawak menahan sepasang suami isteri yang disyaki terbabit dalam pengedaran dadah serta merampas lebih setengah kilogram ketulan kristal dipercayai syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Merdang Garden, Kota Samarahan tengah hari semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak Supt Sahar Abdul Latif berkata dadah seberat 544 gram yang dianggar bernilai RM81,656 terbabit ditemui telah siap dibungkus dalam 32 beg plastik lut sinar untuk dijual kepada penagih di sekitar daerah ini.

“Siasatan awal mendapati suspek telah memulakan kegiatan sejak setahun lalu. Turut dirampas tiga kenderaan milik suspek iaitu Toyota Estima, Isuzu D-Max dan Perodua Myvi bersama wang tunai RM9,600 dan gelang emas yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM169,080,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sahar berkata pihaknya percaya penahanan suspek itu akan membantupolis menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran syabu di bandar raya ini.

Kedua-dua suspek berusia 36 dan 37 tahun terbabit disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

- BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS