Kejayaan

POLIS TUMPASKAN PENGEDAR DADAH, RAMPAS SYABU BERNILAI RM1.5 JUTA DI KELANTAN

Kota Bharu, 30 Oktober 2019 - Taktik licik pengedar dadah yang mengubahsuai kenderaan pacuan empat roda bagi menyembunyikan dadah, akhirnya tumpas selepas polis merampas 30 kilogram dadah dipercayai syabu bernilai RM1.5 juta, di Tanah Merah.

Operasi jam 1.45 tengahari pada Sabtu lalu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah hasil maklumat awam dan risikan.

Ketua Polis Kelantan, DCP Dato' Hasanuddin Hassan, berkata susulan maklumat diterima, pihaknya menahan sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang dipandu seorang lelaki di Bukit Bunga, Tanah Merah.

Katanya, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit menemui 30 paket lut sinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal dipercayai syabu, masing-masing 14 paket di sembunyikan dalam bonet kereta dan 16 paket di bawah tempat duduk penumpang belakang.

“Kita mendapati, lelaki berkenaan mengubah suai kenderaan itu semata-mata untuk menyembunyikan bekalan dadah. Malah kita mendapati suspek menggunakan plastik teh Cina untuk mengisi bekalan dadah berkenaan.

“Siasatan mendapati, suspek berusia 44 tahun dan berasal dari Kuala Balah, Jeli bergiat aktif dalam kegiatan pengedaran dadah sejak dua bulan lalu.

“Bekalan terbabit diperoleh dari negara jiran untuk dipasarkan di Kelantan. Suspek turut mempunyai dua rekod jenayah lampau,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dato' Hasanuddin berkata, siasatan terperinci masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek bergerak sendirian atau sindiket.

“Suspek ditahan reman enam hari sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sumber: Polis Kontinjen Kelantan dan Berita Harian Online

Image may contain: 1 person
Image may contain: 2 people, people standing and indoor
Image may contain: 2 people
Image may contain: 4 people, people standing and indoor
Image may contain: 4 people, people standing and indoor
Image may contain: 4 people, people standing
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS