Kejayaan

PPM SERBU STOR HARAM, RAMPAS MINUMAN KERAS SELUDUP BERNILAI LEBIH RM400 RIBU

Johor Bahru, 30 Oktober 2019 - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 merampas sebanyak 5,638 botol dan tin minuman keras tidak sah dalam serbuan di sebuah premis di Taman Teratai, Kangkar Pulai di sini, Isnin lalu.

Pemangku Komander PPM Wilayah 2, Superintenden Noor Azman Jamal berkata, serbuan kira-kira jam 1.30 tengah hari itu dilakukan dengan kerjasama anggota dari Balai Polis Kangkar Pulai hasil maklumat dan aduan orang awam.

“Kesemua nilai barangan ini dianggarkan bernilai RM446,696 dan rampasan dibuat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Noor Azman berkata, dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, siasatan mendapati premis berkenaan juga dipercayai telah menjadi stor simpanan barangan terlarang itu sejak tiga bulan lalu.

“Premis ini dipercayai menjadi stor penyimpanan sementara bagi kesemua minuman keras tidak sah ini sebelum dipasarkan pasaran tempatan.

“Polis juga percaya premis ini telah beroperasi sejak tiga bulan lalu selain sering berpindah untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Sumber: Pasukan Polis Marin dan Sinar Harian

Image may contain: 2 people
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS