Keratan Akhbar

SUSPEK BUNUH MANDUR DIBURU


Seremban, 31 Okt - Polis memburu dua lelaki disyaki mempunyai kaitan dengan pembunuhan seorang mandur dalam kejadian di Ladang Tanah Merah, Port Dickson dekat sini, Sabtu lalu. 

Difahamkan pergaduhan yang bermotifkan dendam itu membabitkan enam ahli kumpulan kongsi gelap dan polis sudah menahan empat orang setakat ini. 

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Osman Salleh berkata, hasil soal siasat terhadap tiga suspek berusia 29 hingga 40 tahun yang ditahan membawa kepada penahanan seorang lagi suspek berusia 38 tahun. 

"Lelaki terbabit ditahan hari ini (semalam) sebaik siasatan kes lain terhadapnya selesai. 

"Polis kini memburu dua lagi suspek dikenali sebagai M.Ranjanan, 35, alamat terakhir di 56 Bahagian A-3 Ladang Tanah Merah, Port Dickson dan V.Vinoth, 29, alamat terakhir 16 Jalan Harmoni 14, Semenyih, Selangor," katanya. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua suspek terbabit supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan atau balai polis berhampiran. 

Sumber: Harian Metro

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS