Keratan Akhbar

LOKASI DADAH KENA GEMPUR

Muadzam Shah, 14 November - Polis menahan seramai 95 individu atas pelbagai kesalahan dadah dalam Ops Indera Khas Narkotik di sekitar daerah Rompin selama dua hari yang berakhir semalam.

Dalam operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JS)N) negeri itu, polis turut merampas 36.08 gram heroin, 5.96 syabu dan 1.7 gram ganja serta wang tunai RM8,819.

Ketua Polis negeri, Senior DCP Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata, mereka yang ditahan berusia antara 15 hingga 45 tahun dan dua daripadanya adalah wanita.

"Seramai tujuh orang ditahan kerana kesalahan mengedar dadah dan seorang daripada mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Hasil saringan awal air kencing juga didapati seramai 64 orang positif pelbagai jenis dadah," katanya.

Beliau berkata, antara kawasan panas yang menjadi tumpuan operasi ialah di sekitar kawasan Felda, jeti nelayan dan bandar kecil di Rompin.

"Operasi ini membabitkan tiga fasa iaitu serbuan dari rumah ke rumah, sekatan jalan raya dan lubuk-lubuk dadah yang aktif di daerah Rompin," katanya.

Senior DCP Datuk Sharifuddin berkata, polis akan meneruskan pemantauan dan menjalankan operasi seperti itu bagi memastikan tempat-tempat yang dipercayai aktif dengan aktiviti pengedaran dadah dapat dibanteras.


Sumber: Sinar Harian
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS