Keratan Akhbar

28 GRO WANITA VIETNAM DITAHAN

Klang: Seramai 28 wanita warga Vietnam dipercayai bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) ditahan dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Lebuh Gopeng di sini, awal pagi ini. 

Serbuan yang melibatkan 12 orang anggota termasuk dua pegawai dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman itu dijalankan kira-kira pukul 1.30 pagi ketika para pelanggan pusat hiburan berkenaan sedang leka berhibur. 

Ketua Operasi D7, Superintenden Razali Abu Samah berkata, kesemua wanita warga asing yang ditahan berusia di antara 20 hingga 30 tahun manakala seorang lelaki berumur 42 tahun yang dipercayai sebagai pengurus premis berkenaan turut ditahan dalam serbuan yang berakhir pada pukul 3 pagi.

"Berdasarkan siasatan awal, premis hiburan ini beroperasi pada pukul 5 petang hingga pukul 2 pagi. Premis ini mempunyai lesen yang sah tetapi dikesan menyediakan perkhidmatan GRO warga asing dan dipercayai menawarkan khidmat seks katanya di sini hari ini. 

Tambah Razali, selain penahanan kesemua wanita Vietnem itu, pihaknya turut menyelamatkan tiga wanita warganegara itu yang disyaki menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang untuk tujuan eksploitasi seks. 

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963 mengambil pekerja asing secara tidak sah, Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, melanggar syarat pas yang dikeluarkan Jabatan Imigresen dan Seksyen 6(i)(c) akta yang sama kerana memasuki negara ini tanpa permit yang sah serta Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Sumber: Utusan Malaysia

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS