Keratan Akhbar

SOROK BOM TANGAN DALAM BERAS


Seberang Perai - Polis menemui sebutir bom tangan yang masih aktif dan sejumlah dadah jenis syabu ketika menyerbu sebuah rumah di Kampung Lalang Penanti di sini semalam. 

Dalam serbuan pada pukul 10 pagi, bom tangan tersebut didapati disembunyikan di dalam dibungkus plastik berisi beras pulut yang diletakkan di dapur kediaman tersebut. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, pihaknya menjumpai bahan letupan dan dadah berkenaan selepas dua lelaki dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah ditahan di rumah itu pada pukul 6 pagi kelmarin. 

Menurutnya, kedua-dua suspek berusia 28 dan 36 tahun itu kemudian dibawa semula ke rumah tersebut untuk pemeriksaan lanjut. 

"Hasil pemeriksaan rapi menemui sebutir bom yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran dan mungkin digunakan oleh suspek untuk tujuan mempertahankan diri. 

"Selain bahan letupan, pihak kami turut merampas dadah jenis syabu seberat 60 gram bernilai RM10,000 dan pelbagai barang yang dipercayai hasil samun serta pecah rumah geng itu " katanya kepada pemberila di sini semalam.

Sumber: Kosmo



PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS