Keratan Akhbar

POLIS BERKAS LELAKI CURI WANG TUNAI RM13,000

Seorang lelaki yang menyamar sebagai jemaah dan mencuri wang tunai RM13,000 di Masjid Sultan Ibrahim, Muar, di sini pada 12 September lalu berjaya diberkas 72 jam selepas kejadian.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, suspek berusia 20-an itu diberkas di bandar ini berdasarkan siasatan dan selepas pengecaman dibuat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di masjid tersebut.

Dalam kejadian pukul 5.40 pagi itu, mangsa yang juga peniaga membawa wang berjumlah RM13,000 untuk dimasukkan ke dalam bank selepas solat subuh di masjid tersebut.

Menerusi rakaman CCTV, suspek dilihat memasuki pekarangan masjid dan memakai kopiah sebelum meninggalkan kopiah itu dan memakai topi untuk memasuki ruang solat wanita kemudian meninjau kawasan solat wanita sebelum menunggu jemaah sujud dan dengan pantas melarikan beg tangan yang dipercayai diletak di depan mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan orang ramai mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Sumber : Kosmo


 

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS