Keratan Akhbar

PENGEDAR DADAH TUNGGANG MOTOSIKAL LAWAN ARUS ELAK DIBERKAS


Melaka - Dua sahabat disyaki pengedar dadah sanggup menggadai nyawa dengan menunggang motosikal secara melawan arus bagi mengelak daripada ditahan polis dalam sekatan jalan raya di Lebuh Ayer Keroh, di sini awal pagi semalam.

Tindakan itu bagaimanapun tidak berhasil dan kedua-duanya yang berusia 18 dan 41 tahun dapat diberkas polis berdekatan Kolej Yayasan Melaka (KYM) di sini.

Semasa ditahan pada pukul 2.30 pagi, dua suspek yang menunggang motosikal secara berasingan itu dipercayai dalam perjalanan untuk menghantar bekalan dadah kepada pelanggan mereka. 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, kedua-dua suspek dipercayai panik selepas melihat sekatan jalan lalu berpatah balik dengan menunggang melawan arus.

"Semasa melalui jalan dekat KYM, motosikal yang ditunggang lelaki berusia 41 tahun hilang kawalan menyebabkan dia terjatuh sebelum diberkas oleh polis," katanya ketika ditemui selepas tamat operasi di sini semalam.

Sumber: Kosmo

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS