Keratan Akhbar

OPERASI TERANCANG LEBUH RAYA : 48 DITAHAN POSITIF DADAH, 3,361 SAMAN DIKELUARKAN

Kuala Lumpur, 24 September 2016 - Seramai 48 individu yang kebanyakannya merupakan pemandu lori dan bas ditahan polis selepas dikesan memiliki dan positif dadah dalam satu operasi di seluruh negara semalam. 

Operasi Terancang Lebuh Raya yang dilakukan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia itu bermula kira-kira pukul 11 malam kelmarin dan berakhir sekitar pukul 1 pagi itu turut menahan seramai 29 orang pendatang asing tanpa izin. 

Timbalan Pengarah JSPT, Asisten Komisioner Ruslan Khalid berkata, dalam operasi sama, sebanyak 3,361 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya atas pelbagai kesalahan trafik hanya dalam tempoh dua jam. 

"Daripada jumlah itu, 1,115 saman dikeluarkan kerana kesalahan melebihi had laju manakala selebihnya membabitkan kesalahan lebih had muatan, tiada lesen memandu dan pelbagai kesalahan lain.

"Operasi pada malam ini dibuat hampir 30 lokasi di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan dan beberapa lebuh raya lain di seluruh negara dengan memfokuskan pelbagai kesalahan lalu lintas yang dilakukan pengguna lebuh raya," katanya kepada pemberita selepas tamat operasi berkenaan berhampiran Plaza Tol Sungai Besi arah Kuala Lumpur.

Operasi bersepadu besar-besaran itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Antidadah Kebangsaan dan pihak Lebuh Raya Utara-Selatan dengan kekuatan hampir 200 pegawai dan anggota.

Sumber : Kosmo

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS