Keratan Akhbar

GENGSTERISME DI SEKOLAH: 7 SAMSENG 'KECIL-KECIL CILI PADI' DITAHAN DI JOHOR

GENGSTERISME DI SEKOLAH: 7 SAMSENG 'KECIL-KECIL CILI PADI' DITAHAN DI JOHOR

Johor Bahru, 19 Julai 2017 - Tujuh remaja lelaki ditahan kerana terbabit serang rakan sekolah mereka di depan sebuah sekolah menengah di Skudai di sini, Isnin lalu.

Penahanan semua suspek berusia antara 14 dan 16 tahun itu dilakukan di beberapa lokasi selepas orang awam memaklumkan kejadian kepada pihak sekolah dan keluarga mangsa.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata kejadian pada jam 5.20 petang itu berpunca daripada tindakan mangsa yang melaporkan suspek dan beberapa rakan memanjat pagar sekolah untuk ponteng, kepada guru sekolah.

Berikutan rasa tidak berpuas hati, suspek dan rakannya mencederakan mangsa dengan menendang, memijak dan menumbuk muka serta badannya sehingga mangsa cedera pada kepala, lebam pada muka dan bahagian belakang serta luka tangan.

Katanya, mangsa yang berusia 13 tahun itu kemudiannya diselamatkan orang awam yang ternampak kejadian itu, sebelum memaklumkannya kepada pihak sekolah dan keluarga mangsa.

Semua suspek direman hingga 20 Julai ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

"Siasatan terperinci dijalankan kerana polis tidak memberi ruang kepada kemasukan elemen gangsterisme menular ke dalam sekolah, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kes berasingan, beliau mengesahkan lima individu termasuk seorang perempuan turut diberkas kerana memukul seorang pelajar lelaki tingkatan lima yang enggan menyertai kumpulan kongsi gelap, pada 16 Julai lalu.

Beliau berkata empat daripada suspek ditahan polis Johor pada awal pagi semalam (18 Julai) manakala seorang lagi ditahan dengan bantuan polis Melaka hari yang sama.

"Semua yang ditahan berumur antara 15 dan 19 tahun dengan tiga daripadanya direman hingga 20 Julai ini untuk siasatan lanjut, manakala dua lagi akan direman hari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 147 kanun sama yang boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, " katanya.

Sumber: Berita Harian Online

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS