Keratan Akhbar

SUKAN SEA 2017: POLIS JAMIN KESELAMATAN ATLET, PENONTON

SUKAN SEA 2017: POLIS JAMIN KESELAMATAN ATLET, PENONTON

Kuala Lumpur, 20 Julai 2017 - Kira-kira 10,000 anggota polis Kuala Lumpur akan ditugaskan sepanjang temasya Sukan SEA ke-29 yang dijadualkan berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos depan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Dato’ Amar Singh Ishar Singh, berkata pasukannya berada pada tahap kesiapsiagaan penuh dan bersedia untuk berdepan dengan apa juga situasi yang mungkin berlaku sepanjang tempoh itu.

Katanya, Latihan Amal Ex-Rimau turut dilakukan bagi memperkukuhkan lagi kesediaan setiap anggota sekiranya berlaku insiden tidak diingini.

"Kuala Lumpur adalah pusat yang menempatkan 22 lokasi acara daripada 38 lokasi keseluruhan.

"Keselamatan penonton dan peserta menjadi tanggungjawab utama kami, justeru anggota mencukupi ditempatkan secara tetap di semua lokasi yang terbabit dengan acara sukan bagi melakukan pemantauan, selain tindakan cepat sekiranya berlaku sebarang ancaman atau kekecohan," katanya pada sidang media selepas selesai Latihan Amal Ex-Rimau 2017 di Terminal Udara KL Sentral, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, latihan pada hari itu adalah yang kelima daripada enam siri, dengan lokasi terakhir dijangka dilakukan di Stadium Bukit Jalil.

Beliau berkata, seramai 600 anggota polis pelbagai elemen terbabit dalam latihan yang bertujuan mempersiapkan mereka sekiranya berdepan krisis dan ancaman keselamatan yang mungkin berlaku.

Selain itu, ia juga bagi menguji keberkesanan perancangan dan tindakan polis sekiranya berlaku ancaman, menguji pelan tindak balas polis daerah sebagai 'first responder' dan menguji peranan dan tugas komander briged sebagai Ketua Pasukan Tindakan Krisis (CTR).

"Keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan latihan pada hari ini. Kita amat prihatin dan memberi jaminan keselamatan semua pihak berada pada tahap tertinggi," katanya. – BERITA HARIAN ONLINE

Sumber : http://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/07/304009/sukan-sea-2017-polis-jamin-keselamatan-atlet-penonton 
PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS