Keratan Akhbar

PEGAWAI PDRM KE THAILAND BERHUBUNG KES SELUDUP SYABU

PEGAWAI PDRM KE THAILAND BERHUBUNG KES SELUDUP SYABU

Seremban, 25 Ogos 2017 - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar pegawainya ke Thailand dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat berhubung kes dua rakyat Malaysia yang ditahan di Sadao, Songkhla pada Selasa lepas kerana cuba menyeludup masuk 200 kilogram dadah jenis syabu ke negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, penghantaran pegawai PDRM ke negara itu adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard apabila rakyat Malaysia ditahan di luar negara.

“Kita akan tunggu pihak berkuasa Thailand selesai jalankan siasatan awal...bila ia bersedia, ia akan maklumkan kepada kita,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di sini, hari ini ini.

Beliau mengulas mengenai penahanan dua lelaki rakyat Malaysia itu yang ditahan ketika cuba menyeludup masuk kira-kira 200 kg dadah itu yang bernilai kira-kira 400 juta Baht (kira-kira RM50 juta).

Khalid berkata pada masa sama, PDRM akan membuat permohonan bagi membolehkan pegawainya yang dihantar ke sana bertemu suspek yang ditahan.

“Biasanya, Thailand akan beri kerjasama pada kita kerana ini merupakan SOP, sama juga kalau warganegara mereka ditahan di sini, kita juga kongsi maklumat,” katanya.

Kedua-dua lelaki berumur 49 dan 35 tahun itu ditahan di Sadao, Songkhla selepas pihak berkuasa Thailand menerima maklumat mengenai percubaan menyeludup masuk dadah ke negara ini.

Pihak berkuasa Thailand menemukan tujuh guni dipercayai mengandungi dadah ‘Ice’ dalam sebuah kereta yang dipandu lelaki itu ketika dia hendak memindahkan dadah itu ke sebuah kereta lain milik rakan senegaranya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/semasa/pegawai-pdrm-ke-thailand-berhubung-kes-seludup-syabu-1.724547#.WZ_PKJPiQyQ.facebook

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS