Keratan Akhbar

POLIS TUMPAS GENG PECAH RUMAH, CURI KENDERAAN

POLIS TUMPAS GENG PECAH RUMAH, CURI KENDERAAN

Bukit Mertajam - Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan pecah rumah dan curi kenderaan selepas menahan empat suspek termasuk seorang wanita dalam dua serbuan berasingan di Pengkalan Hulu, Perak dan Machang Bubok, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, dalam serbuan pertama di Pengkalan Hulu kira-kira 9.30 pagi, polis menangkap tiga suspek termasuk wanita, berusia 19 hingga 26 tahun yang dipercayai berada di situ untuk urusan jual beli kereta yang dicuri mereka.

“Susulan penahanan itu, polis menangkap seorang lelaki berusia 22 tahun kira-kira 1 tengah hari semalam di rumahnya di Taman Seri Janggus, Machang Bubok yang dipercayai ketua geng berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan penangkapan suspek, polis merampas pelbagai barangan serta dua kenderaan yang dipercayai dicuri baru-baru ini.

Berdasarkan siasatan, geng ini terlibat dalam lebih 10 kes pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar SPT sejak beberapa bulan lepas dengan yang terkini membabitkan dua buah rumah di Alma dengan kerugian bernilai lebih RM100,000. - Bernama

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS