Keratan Akhbar

ROMBAKAN BESAR-BESARAN DALAM PDRM


Kuala Lumpur - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran jawatan dan kenaikan pangkat melibatkan 41 pegawai kanannya sekali gus menyaksikan rombakan besar-besaran dalam pasukan beruniform itu berkuat kuasa 15 Januari depan.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Asmawati Ahmad berkata, mendahului senarai pertukaran ialah Timbalan Pengarah Siasatan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk A. Thaiveegan dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang.

Katanya, Timbalan Pengarah (Integriti), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Abd. Rahim Jaafar dilantik ke jawatan itu dengan memangku pangkat Komisioner Polis.

Kekosongan jawatan Abd. Rahim diisi Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azri Ahmad manakala tempatnya pula disandang Datuk Jamaludin Kudin yang sebelum ini merupakan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan keselamatan Komuniti Kontinjen Pahang.

"Datuk Ramli Mohamed Yoosuf yang merupakan Setiausaha Polis, Urus Setia KPN Bukit Aman dinaikkan pangkat Deputi Komisioner dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Perak, Datuk Gan Tian Kee dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan/Jenayah Komplot) JSJK Bukit Aman.

"Turut terlibat dalam pertukaran berkenaan adalah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisoner (SAC), Azman Ayob sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Pahang; Timbalan Ketua Jabatan Siasatan jenayah Risikan/Operasi Kontinjen Selangor, Asisten Komisioner (ACP) Yahya Abd. Rahman sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Perak dengan memangku pangkat SAC," katanya dalam kenyataan akhbar semalam.

Sumber: Kosmo

 

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS