Keratan Akhbar

MINYAK MOTOR HABIS, SUSPEK CURI MOTOSIKAL GAGAL LARIKAN DIRI


Segamat, 9 Jan 2018 - Taktik seorang lelaki membuang pelbagai kelengkapan mencuri bagi mengelak ia dijadikan bukti ketika cuba melarikan diri gagal apabila motosikal yang ditunggangnya kehabisan minyak sebelum ditahan polis dalam kejadian di sekitar Segamat Baru, petang kelmarin.


Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Raub Selamat berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, sepasukan enam anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat melakukan rondaan cegah jenayah sebelum melihat suspek dalam keadaan mencurigakan lalu mengarahkannya berhenti.


Katanya, bimbang ditahan polis suspek lelaki berusia 25 tahun itu terus memecut motosikal Modenas Kriss untuk melarikan diri di dalam taman perumahan sambil membuang pelbagai peralatan yang diletak di dalam raga motosikalnya termasuk spanar, gunting besi, pemutar skru dan tukul besi hingga berselerak di atas jalan raya.


“Bagaimanapun, lelaki itu hanya mampu melarikan diri hampir satu kilometer apabila motosikalnya kehabisan minyak sebelum diberkas anggota JSJ berkenaan.


“Hasil siasatan, kami dapati motosikal ditunggang suspek itu dilaporkan hilang di sekitar Segamat beberapa minggu lalu dan suspek memberikan alasan terpaksa membuang kesemua peralatan di atas jalan raya kerana mahu mengurangkan berat dengan harapan motosikal ditunggangnya lebih laju sedangkan kami percaya ia bagi mengelak dijadikan bukti.


“Selain itu, kami percaya semua peralatan itu digunakan untuk memotong mangga dan rantai keselamatan tambahan motosikal sebelum mencurinya,” katanya ketika ditemui di IPD Segamat, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Yusuf Unis.

 Raub berkata, pemeriksaan mendapati suspek warga tempatan itu memiliki beberapa rekod jenayah narkotik, manakala ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis heroin.

Sumber: Harian Metro

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS