Keratan Akhbar

‘POCONG‘ KECUNDANG DI TANGAN POLIS

ALOR SETAR, 22 Januari 2018 - Niat seorang remaja bersama tiga rakannya untuk mengusik kanak-kanak yang pulang daripada mengaji al-Quran dengan berpakaian menyerupai pocong tidak kesampaian apabila mereka ditahan polis di pekan Bukit Pinang di sini jumaat lalu.

Remaja terbabit, berusia 16 tahun dan tiga rakannya berusia 14,15 da 18 tahun, ditahan kira-kira pukul 10 malam Jumaat lalu.

Menurut pemuda itu, dia dan rakannya hanya berniat untuk mengusik kanak-kanak pulang daripada mengaji al-Quran dan beberapa rakan mereka di Taman Pinang Jaya dekat sini.

"Kawan-kawan bantu balut tubuh saya dengan kain selimut dan ikat pada bahagian kepala sebelum saya membonceng motosikal ditunggang seorang kawan dan sebuah lagi motosikal mengekori dari belakang.

"Tidak sampai 15 minit membonceng, kami terserempak dengan seorang anggota polis bermotosikal yang nampak terkejut dengan kelibat 'pocong' sebelum bertindak menahan kami" katanya ketika ditemui di rumah bapa saudaranya di Kampung Padang Kunyit, Bukit Pinang hari ini.

Katanya, dia dan rakan-rakan tidak sempat mengusik apabila ditahan di tepi jalan Pekan Bukit Pinang.

"Saya diminta melompat-lompat seperti pocong dalam masa kira-kira 15 minit sambil disaksikan orang ramai yang berhenti untuk melihat," ujarnya.

Video penahanan empat remaja terbabit dengan salah seorang daripada mereka yang menyerupai pocong viral di laman sosial Facebook sejak Sabtu lalu.

Paparan video berdurasi 30 saat yang tersebar itu turut mencuit hati apabila pemuda yang membalut tubuh dengan kain selimut berwarna kelabu diminta melompat seperti pocong.

Menurut pemuda itu lagi, dia dan rakan-rakan kemudian dibawa ke Balai Polis Kepala Batas sebelum ke Ibu pejabat Polis Daerah Kota Setar.

"Polis menasihatkan kami agar tidak melakukan perbuatan seperti itu lagi kerana ia boleh mengakibatkan kejadian lebih buruk seperti kemalangan jalan raya dan menyebabkan orang terkejut serta mengundang bahaya," katanya.

Sumber- Utusan Malaysia


PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS