Keratan Akhbar

PDRM-INTERPOL BURU AHLI GENG 360

JOHOR BAHRU 11 Feb. - Polis negeri bekerjasama erat dengan Interpol memburu saki baki ahli kongsi gelap Geng 360 yang disyaki ada kaitan dengan kes pembunuhan kejam seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi di sini pada 17 Disember lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, bantuan Interpol itu diperlukan berikutan pihaknya tidak menolak kemungkinan saki baki ahli kongsi gelap tersebut dipercayai bertindak melarikan diri.

"Pada peringkat ini, kita tidak nafikan ada antara mereka (ahli Geng 360) telah melarikan diri bagi mengelak ditangkap.

"Oleh itu, kita telah meminta bantuan Interpol bagi mengesan saki baki ahli geng tersebut yang telah dikenal pasti identitinya," katanya selepas hadir pada prosiding pendakwaan 35 ahli Geng 360 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Seramai 35 ahli kumpulan kongsi gelap 360 didakwa di mahkamah tersebut terhadap pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan membantu kumpulan itu sejak tiga tahun lalu.

Akhbar hari ini melaporkan polis negeri menahan 35 daripada kira-kira 100 ahli geng terbabit dalam operasi khas dengan bantuan Bukit Aman di seluruh negara, susulan pembunuhan kejam mangsa, Tan Aik Chai, 44.

Pertubuhan haram itu yang telah beroperasi, sejak 20 tahun lalu disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah terancang seperti dadah, kekerasan dan penyeludupan.

Kamaluddin berkata, pihaknya komited untuk terus menggempur saki baki ahli geng berkenaan sehingga mereka dapat ditumpaskan sepenuhnya.

"Insya-Allah...Kita akan cuba usahakan (tangkapan) dalam masa terdekat," katanya..

Sumber- Utusan Malaysia

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS