Keratan Akhbar

SKIM PELABURAN KHAS ASB UNTUK TENTERA, POLIS

KUALA LUMPUR 26 Feb. - Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dan Bank Muamalat Malaysia Bhd. menawarkan Skim Pelaburan Khas Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta ahli Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM).

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata. Skim Pelaburan Khas ASB yang ditawarkan Bank Muamalat menyediakan pakej pembiayaan untuk tempoh lima dan 10 tahun bagj anggota dan veteran ATM serta 10 tahun untuk anggota KPDRM.

Katanya, menerusi skim itu, warga ATM dan PDRM boleh melabur di dalam ASB dengan membayar ansuran bulanan tetap yang berpatutan kepada Bank Muamalat. 

"Ini merupakan satu kaedah forced saving (simpanan paksa) yang kita yakin mampu membantu mereka untuk mempunyai tabungan kukuh dalam ASB. 

"Dengan kaedah ini, dapat membentuk pelaburan berkala yang berkesan untuk jangka seterusnya menikmati manfaat pengembangan pelaburan daripada kuasa faedah kompaun," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, agihan pendapatan tahunan ASB yang diperoleh pelabur tidak boleh dikeluarkan sehingga tamat tempoh pembiayaan.

Bagi memastikan pelabur tidak berasa terbeban, jumlah ansuran bulanan yang dikenakan adalah tidak melebihi 10 peratus daripada gaji kasar mereka.

Menerusi skim khas itu, jika pelabur mengambil kemudahan pembiayaan sebanyak RM70,000 mereka hanya perlu membayar ansuran bulanan sebanyak RM218 untuk tempoh 10 tahun, yang mampu dibiayai oleh pelabur.

Berdasarkan andaian pulangan purata tahunan ASB ialah tujuh peratus, pelabur akan mempunyai jumlah tabungan terkumpul antara RM55,000 hingga RM58,000 pada akhir tempoh pembiayaan.

Skim pembiayaan khas berkenaan akan dilancarkan pada 27 Februari ini (esok) oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein..

Sumber- Utusan Malaysia

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS