Keratan Akhbar

KPN NAFI VIRAL POLIS LEWAT BERTINDAK KES WARGA PALESTIN MATI DITEMBAK

KPN NAFI VIRAL POLIS LEWAT BERTINDAK KES WARGA PALESTIN MATI DITEMBAK

Kuala Lumpur, 23 April 2018 - Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata polis belum dapat mengesahkan kesahihan maklumat itu dan masih mengumpul segala maklumat yang ada sebelum lakaran wajah suspek sebenar kejadian itu diperoleh.

"Polis juga masih mengenal pasti motif sebenar kejadian ini, sama ada mempunyai kaitan dengan masalah dengan sebuah negara yang berjiran dengan Palestin.

"Kita juga mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai yang mungkin dapat membantu siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, petang semalam.

Tan Sri Mohamad Fuzi berkata, polis juga masih menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa daripada Hospital Selayang dan keputusannya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau turut menafikan dakwaan yang tersebar luas di media sosial kononnya polis lewat bertindak dalam kejadian itu.

Laporan yang viral di media sosial sejak pagi semalam itu memaparkan rakaman seorang lelaki warga Arab menceritakan sesuatu di lokasi kejadian dan disertakan dengan teks terjemahan bahasa Melayu, yang mendakwa polis tiba lewat di lokasi kejadian.

Mohamad Fuzi menunjukkan gambar lelaki warga Arab yang mendakwa polis lambat bertindak pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, pihaknya sudah menemu bual individu yang membuat terjemahan dalam video berkenaan, dikenali sebagai Muhammad Najmi Rohaizad Mohd Nazri dan beliau mengakui tersilap membuat terjemahan itu.

"Lelaki warga Arab yang dirakam itu dilaporkan adalah saksi yang berada bersama-sama mangsa ketika kejadian berlaku, sedangkan hasil temu bual ke atas semua saksi mendapati tiada seorang pun warga asing yang berada bersama mangsa ketika itu," katanya.

Tan Sri Mohamad Fuzi berkata, warga Arab terbabit sebenarnya memberitahu yang beliau menghubungi pihak polis sebanyak tiga hingga empat kali bagi melaporkan kejadian, bukan sehingga 43 kali seperti disiarkan dalam video itu.

"Berdasarkan rekod, pihak polis menerusi MERS 999, menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 6.41 pagi sebelum sebuah kereta peronda polis diarah ke lokasi pada jam 6.44 pagi dan tiba lima minit kemudian.

"Sehubungan itu, pihak polis turut meminta lelaki warga Arab yang membuat dakwaan dalam video itu, tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 6 pagi kelmarin, Dr Fadi M R Al-Batsh Fatma, ditembak dua suspek menaiki motosikal berkuasa tinggi jenis BMW GS, ketika mangsa sedang berjalan menuju ke surau berhampiran, tidak jauh dari pintu masuk hadapan kondominiumnya.

Mangsa yang ditembak lebih 10 das tembakan disahkan maut di tempat kejadian. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh.

Sumber : Berita Harian

1 comment

Leave a comment
  1. ankit | Apr 25, 2018
    It have the maximum capacity of the give good entertainment and the most important point Free freecell game here which involve you as like the good player of the game. Here are mention the time limit period in the game which make the game very interesting. 

    Leave a comment

    PDRM Facebook
    PDRM Twitter
    PDRM Instagram
    PDRM RSS