Keratan Akhbar

POLIS BURU GENG GAGAK HITAM

Cheras, 29 Mei 2018 – Polis buru dua lagi suspek yang masih bebas dan melarikan wang US$150,000 milik seorang ahli perniagaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, polis masih giat mengesan dua suspek berkenaan.

“Fotofit suspek telah diedarkan, kita juga harap maklumat orang ramai bagi membantu siasatan,” katanya, semalam.

Beliau berkata, pihaknya serius mahu membanteras kegiatan kumpulan jenayah ini.

“Sebanyak lima kes jenayah yang membabitkan kerugian RM1.2 juta dipercayai telah dilakukan kumpulan jenayah berkenaan sejak awal tahun ini,” katanya.

Dalam kejadian pada 19 Mei lalu, polis menembak mati seorang penjenayah dipercayai ahli Geng Gagak Hitam yang terlibat dalam kes samun pertukaran wang di Jalan Memanda Ampang.

Polis turut memberkas empat lelaki termasuk seorang lelaki bangsa Arab dan seorang lelaki warga Afrika yang dipercayai turut terlibat dengan kumpulan berkenaan.

Modus operandi kumpulan ini mengumpan mangsa yang menukar mata wang asing khususnya US$ kepada Ringgit Malaysia dengan kadar pertukaran yang tinggi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Muhammad Izzat Mohd Shukri di talian 0182684412 attau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Wangsa Maju ASP Khairil Idzwan Ahmad di talian 0193592582.

Sumber : Sinar Harian

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS