Keratan Akhbar

POLIS MARIN RAMPAS ROKOK SELUDUP BERNILAI RM278,800 DI SUNGAI GOLOK

TUMPAT - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Pengkalan Kubor merampas 41 kotak rokok seludup bernilai RM278,800 dan sebuah van dalam serbuan di Pangkalan Haram Badang, Sungai Golok di sini semalam.

Kesemua rokok yang dirampas dalam serbuan pada pukul 10 pagi itu dipercayai diperoleh dari Selangor dan untuk diseludup ke negara jiran menggunakan bot menyeberangi Sungai Golok.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 3, Asisten Suporintendan Mohd. Rudzuan Ahmad berkata, serbuan dilakukan hasil risikan yang dilakukan pasukannya sejak beberapa hari lalu.

"Ketika serbuan terdapat empat lelaki sedang memunggah kotak daripada sebuah van ke dalam bot enjin galah, namun suspek terbabit melarikan diri dengan menaiki dua bot enjin galah ke negara jiran," katanya pada sidang akhbar di Pejabat PPM Wilayah 3 Pengkalan Kubor di sini semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut pada van jenis Toyota Hiace itu menemui 41 kotak mengandungi 2,050 karton rokok seludup berkenaan.

Katanya kes itu diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

Sumber- Kosmo

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS