Keratan Akhbar

TIGA LELAKI DITAHAN MILIKI DADAH DI KOTA TINGGI

Johor Bahru, 21 September 2018 - Polis menahan tiga lelaki kerana memiliki pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM18,500 dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Felda Pasak, Kota Tinggi, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, suspek berusia 25 hingga 37 tahun itu ditahan kira-kira 10.50 pagi oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi.

"Pemeriksaan yang dijalankan menemukan satu peket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah jenis heroin dengan berat kasar 344 gram dan sepeket seberat 100 gram disyaki dadah jenis syabu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya dadah yang dirampas itu boleh menampung kegunaan antara 300 dan 400 penagih di kawasan terbabit.

Beliau berkata, semakan juga mendapati kesemua suspek yang positif dadah jenis metamfetamina terbabit mempunyai rekod lampau membabitkan jenayah dan kesalahan dadah.

Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 27 September ini bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS