Keratan Akhbar

POLIS, KASTAM JALIN KERJASAMA RAMPAS MINUMAN KERAS TIDAK BERCUKAI

Johor Bahru- Polis Johor melancarkan operasi bersepadu bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia Johor Bahru susulan insiden keracunan arak di Selangor.

Sasaran operasi sekitar jam 6 petang, kelmarin itu adalah penempatan warga asing yang mempunyai perniagaan minuman keras tidak bercukai.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, lokasi operasi merupakan premis yang kerap dikunjungi warga asing dipercayai ada menjual bahan-hahan diragui ketulenannya dan dipercayai tidak mempunyai lesen khusus menjual minuman keras.

Menurutnya, hasil serbuan berjaya menahan tiga individu terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita selain merampas minuman keras pelbagai jenama sebanyak 311 tin bersamaan 142.90 liter.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke pejabat kastam Johor Bahru untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 dan sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali nilai barangan tersebut atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Mohd Khalil berkata, pihaknya akan sentiasa menjalinkan kerjasama dengan kastam dalam menangani isu minuman keras yang tidak bercukai dari terus berleluasa di negeri ini.

Sumber - Sinar Harian

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS