Keratan Akhbar

JANGAN KELUAR KENYATAAN PROVOKASI - KPN

Kuching, 8 Januari 2019 - Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bersifat provokasi susulan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata polissudah membuka beberapa kertas siasatan berhubung kenyataan melampau pihak tertentu berkaitan isu peletakan jawatan baginda.

Menurutnya, orang ramai juga tidak perlu mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur negatif sehingga menimbulkan persepsi tidak betul.

POLIS SEGERAKAN KERTAS SIASATAN

"Laporan diterima polis banyak membabitkan kenyataan yang dikeluarkan di media sosial. Polis akan menyiapkan kertas siasatan secepat mungkin sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

"Polis berharap tiada mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan yang menimbulkan persepsi negatif,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara Siri 1/2019 Peringkat Kontinjen Sarawak, semalam.

Kelmarin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz menerusi satu kenyataan mengesahkan peletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Wan Ahmad berkata, baginda sudah memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.

Media sosial beberapa hari lalu kecoh dengan dakwaan kononnya mesyuarat khas Majlis Raja-Raja membincangkan kedudukan baginda.

Sumber : Artikel Berita Harian Halaman 4

PDRM Facebook
PDRM Twitter
PDRM Instagram
PDRM RSS